KUCHING, 14 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan membaca setiap surat dan petisyen yang dipersembahkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak kepada baginda sepanjang pengembaraan Kembara Kenali Borneo.
Istana Negara menerusi catatan di Facebook rasminya berkata, Agong akan menyerahkan setiap surat dan petisyen kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak yang telah sudi berkongsi kisah suka dan duka serta pelbagai masalah menerusi surat dan petisyen tersebut,” kata kenyataan itu.
Kembara Kenali Borneo selama 11 hari bermula 3 September dan berakhir semalam, memulakan perjalanan dari Tawau, Sabah dan tamat di Telok Melano, Sematan yang menelusuri jarak 2,154 kilometer.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan menyertai Kembara Kenali Borneo yang disifatkan baginda berdua sebagai pengerat silaturahim dengan rakyat.
“(Kembara ini merupakan) kesempatan menghulur atau membina jambatan baharu yang tidak ada sungai. Jambatan itu adalah jambatan silaturahim. Kehadiran saya, keluarga saya, rombongan saya adalah seolah-olah mewakili sebahagian daripada rakyat di Semenanjung.
“Saya mewakili Raja-Raja Melayu menghulur tangan kepada semua sebagai satu keluarga negara Malaysia yang kita cintai ini,” titah baginda pada Majlis Penutupan dan Santapan Kerajaan Negeri Sarawak sempena Kembara Kenali Borneo pada malam Selasa. – TVS