KUCHING, 14 Sept: Pemahaman sebenar dan mendalam inti pati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diajar dan diterapkan kepada generasi baharu agar ia tidak disalahertikan, kata Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurutnya, perkara itu sepatutnya dijadikan satu subjek penting dalam sistem pendidikan dengan tidak hanya menfokuskan kepada fakta sejarah semata-mata sebalik turut menerapkan aspek serta peristiwa penting yang menjurus termeterainya MA63.
Katanya, golongan pendidik pada masa sama perlu peka dalam memastikan pelajar-pelajar mereka mempunyai Ilmu dan kefahaman mendalam dalam subjek tersebut bukannya hanya fokus untuk mendapat keputusan cemerlang semata-mata.
“Ini perlu diketahui dan sepatutnya menjadi subjek penting dalam pendidikan supaya apabila kita hendak mahu perkara ini direalisasikan, kita mesti tahu perkara sebenarnya (MA63).
“Kalau kita tidak mengetahui perkara sebenarnya, kita terdedah kepada cemuhan oleh mereka yang mengetahui fakta serta inti pati sejarah tersebut sebab sejarah itu tidak boleh dinafikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pembentangan khas pada Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak (PASS) 2023 di sini, hari ini.
Menurut Wan Junaidi, pemahaman memahami tujuan dan inti pati sebenar MA63 telah menyebabkan pelaksanaan yang ditakrifkan dalam perjanjian berkenaan tidak dapat dilakukan seperti yang termaktup.
Pada masa sama, pengaruh dan sentimen politik berkepentingan juga menyebabkan ramai rakyat di negara ini tidak mengetahui serta tidak mengambil peduli kepentingan MA63 itu kepada pembentukkan Persekutuan Malaysia.
Justeru katanya semua pihak perlu terbuka dalam mendedahkan perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian terbabit agar tidak menimbulkan konflik antara pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut.
Ia sekali gus berupaya memberikan pemahaman serta pengertian menyeluruh punca serta sebab utama menjurus kepada termetarainya MA63 pada 16 September 1963. – TVS