JAKARTA, 13 Sept: Syarikat pakar kejuruteraan awam Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT MRT Jakarta.
MoU itu bagi meneroka potensi perkongsian operasi dan pengurusan tempat letak kereta di Kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) selain menjadi platform perbincangan dan pertukaran data.
Menerusi MoU itu juga, kedua – dua pihak bersetuju untuk menjalankan kajian berkaitan pembangunan tanah di kawasan berorientasikan transit di Jakarta.
Pengarah SCIB, Ku Chong Hong berkata, penglibatan pihaknya dengan PT MRT Jakarta bukan sekadar perjanjian perniagaan.
“Ini menunjukkan komitmen berterusan SCIB untuk menjalinkan perkongsian inovatif yang saling menguntungkan,” katanya selepas majlis berkenaan hari ini.
Tambah beliau, SCIB dan PT MRT Jakarta akan membangunkan kerjasama strategik bagi memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing.
“Ini dijangka akan memberi impak yang bermakna kepada pembangunan bandar yang mampan terutamanya di kawasan berorientasikan transit,” katanya. -TVS