KUCHING, 13 Sept: Sebanyak 457 anggota polis Sarawak akan bertugas bagi memastikan sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Stadium Perpaduan di sini, pada Sabtu berjalan lancar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata tugasan anggota berkenaan antara lain merangkumi kawalan keselamatan dan lalu lintas.
Beliau berkata penerbangan dron di kawasan Stadium Perpaduan juga dilarang sepanjang tempoh sambutan itu.
âKita anggarkan kira-kira 5,000 orang dijangka hadir pada acara itu yang akan bermula pada 8.30 malam,â katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar akan menjadi tetamu kehormat utama dalam sambutan itu yang akan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain itu, turut hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Jumaâani Tuanku Bujang serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salang.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, sambutan Hari Malaysia kali ini dijadualkan bermula dengan acara prapersembahan pada 7 malam sebelum acara rasmi pada 8.30 malam.
Pengisian program itu antaranya Konsert Hari Malaysia yang dijayakan oleh artis tempatan, upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia serta perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang. – TVS