IPOH, 13 Sept: Seorang pesara wanita yang menetap di Taman Wah Keong di sini berputih mata apabila wang miliknya lebih RM1.4 juta lesap selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’ sejak tiga tahun lalu.
Mangsa berusia 62 tahun dikatakan mula terjerat dalam sindiket itu apabila menerima panggilan telefon daripada individu kononnya wakil syarikat kurier dan pegawai polis pada 27 Mac 2020.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa dimaklumkan terdapat satu bungkusan yang bermasalah atas namanya selain dia didakwa terbabit kegiatan jenayah pengubahan wang haram dan dadah.
Katanya, mangsa mula mempercayai kata-kata ahli sindiket selepas seorang suspek menunjukkan waran tangkap daripada pihak mahkamah terhadapnya.
“Dia telah berurusan dengan lima individu yang menyamar pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dalam perwatakan berlainan.
“Mangsa telah mendedahkan semua maklumat sulit tentang akaun bank dan akaun dompet digital kepada semua suspek selain mengikut arahan membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujar beliau, mangsa akhirnya menyedari dia sebenarnya ditipu apabila seorang suspek yang kononnya akan datang berjumpa dengan mangsa di Ipoh sejak tiga tahun lalu tidak pernah berbuat demikian.
“Dalam tempoh itu, mangsa mengalami kerugian dalam bentuk wang dan mata wang Tether (USDT) berjumlah RM1,417,019.84.
“Dia kemudiannya tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – TVS