SEMATAN, 13 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamakan masjid di Telok Melano sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah.
Baginda hari ini telah menyempurnakan majlis pecah tanah masjid berkenaan setelah berangkat tiba pada 12 tengah hari tadi.
Pembinaan masjid berkenaan dijadual siap dalam tempoh 18 bulan.
Memasuki hari terakhir Kembara Kenali Borneo, Seri Paduka bersama anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah berkenan melawat Telok Melano yang merupakan destinasi terakhir kembara.
Lebih 2,000 rakyat hadir untuk menyambut keberangkatan tiba keluarga diraja di situ yang juga merupakan kawasan tarikan pelancongan di Sematan.
Baginda serta ketiga-tiga anakanda berangkat pulang meninggalkan majlis sekitar 1 petang.
Turut hadir, Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara, keberangkatan tiba rombongan Kembara Kenali Borneo disambut Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep.
Kilometer 0 atau disebut sebagai Kilometer Kosong Lebuhraya Pan Borneo di Telok Melano menjadi persinggahan terakhir Al-Sultan Abdullah serta konvoi sekali gus menamatkan Kembara Kenali Borneo yang berlangsung selama 11 hari.
Terletak kira-kira 33 kilometer (km) dari Pekan Sematan, jajaran Telok Melano-Sematan merupakan bahagian Lebuhraya Pan Borneo yang pertama disiapkan dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Januari 2019.
Al-Sultan Abdullah telah menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Telok Melano dan melawat beberapa kawasan di situ sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur petang ini. – TVS