Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Foto fail: Bernama.

Majlis tandatangan buku pembentukan Malaysia dilakonkan semula

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Lakonan semula majlis menandatangani Buku Watikah Pemasyhuran Malaysia dijangka menjadi tumpuan pada sambutan Hari Malaysia 2023 di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak, Sabtu ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata segmen berkenaan merupakan imbauan detik pembentukan Malaysia oleh pemimpin terdahulu.

“Saya berpandangan ia satu segmen yang agak istimewa,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Hari Malaysia 2023: Memaknai Segulai Sejalai disiarkan Astro Awani malam tadi.

Mengenai tema sambutan Hari Malaysia 2023 iaitu ‘Segulai Sejalai’ yang dalam bahasa Iban bermaksud seiring sejalan atau berjalan seiringan, Fahmi berkata semangat itu dapat dilihat menerusi Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“(Kembara Kenali Borneo) mencerminkan raja dan rakyat berpisah tiada dan segulai sejalai. Ia adalah manifestasi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang sangat bermakna.

“Tuanku (Al-Sultan Abdullah) mencemar duli melihat jalan, kampung dengan memandu sendiri. Jarang dilihat sisi ini. Ia menanam rasa cinta terhadap institusi raja,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata pelbagai acara sempena Hari Malaysia di Kuching telah disusun termasuk penganjuran Jualan Rahmah di sekitar Stadium Perpaduan, persembahan kebudayaan, konsert rakyat dan pertunjukan bunga api.

Selain itu, Arkib Negara akan membawa buku watikah pemasyhuran berkenaan ke lokasi sambutan yang dijangka dihadiri 3,000 pengunjung.

“Saya harap rakyat Malaysia akan saksikan sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan Kuching di semua saluran (media) bagi meraikannya. Jangan lupa untuk kibarkan Jalur Gemilang dan sematkan dalam hati dan jiwa erti menjadi Bangsa Malaysia,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan