KUCHING, 13 Sept: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dari Sabah dan Sarawak yang bermula 3 hingga 13 September adalah teladan terbaik dalam menggambarkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dato Dr Jeniri Amir berkata memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan agama memerlukan kerjasama dari semua pihak dari peringkat akar umbi, supaya terus utuh dan mantap.
“Kita tengok bagaimana Yang di-Pertuan Agong dalam Kembara (Kenali) Borneo. Baginda telah diterima dengan begitu baik. Kita dapat lihat pelbagai ragam masyarakat berbilang kaum di Sabah dan Sarawak menerima kehadiran baginda dengan hati yang terbuka, malah baginda sendiri telah memperlihatkan sikap yang begitu mesra serta tidak kekok.
“Ini merupakan salah satu teladan, maksudnya pemimpin tertinggi Yang di-Pertuan Agong serta pemimpin politik di peringat persekutuan bergerak ke akar umbi untuk mendampingi rakyat,” katanya dalam satu sesi temu bual khas bersama Bernama dan RTM di sini, baru-baru ini.
Jeniri berkata sebarang sikap ataupun unsur etnosentrisme yang ekstrem, baik dari segi politik, agama atau budaya yang boleh menjadi pemusnah kepada perpaduan dan integrasi nasional antara rakyat berbilang kaum perlu dikikis.
“Tolak ansur itu penting, kita tidak harus hanya melihat dari satu sudut pandangan semata-mata dengan memegang konsep etnosentrisme yang mengganggap bahawa hanya budaya kita atau agama kita sahaja yang betul.
“Orang Sabah dan Sarawak harus mengiktiraf atau menghargai orang di Semenanjung. Begitu juga orang Semenanjung, tidak harus memandang rendah terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Pemimpin di peringkat akar umbi, semua rakyat tanpa mengira kaum perlu saling memahami bertolak ansur, menghargai, dan jangan kita cuba mencetuskan kemarahan atau prasangka dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya.
Tambahnya, bersatu di bawah satu bumbung persekutuan membolehkan Malaysia lebih progresif seperti yang diimpikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selaras dengan gagasan Malaysia MADANI. – TVS