KUCHING, 13 Sept: Lebih 2,000 rakyat tidak berganjak menanti keberangkatan tiba Yang di- Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bandaraya ini awal pagi ini.
Berangkat sama menyertai konvoi Kembara Kenali Borneo ialah anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Konvoi tiba di Hotel Pullman di sini kira – kira 12.15 tengah malam tadi.
Seri Paduka dan konvoi awal petang tadi meninggalkan Sibu dan perjalanan ke pusat bandar ini mengambil masa kira-kira 10 jam.
Sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo di Balai Ringin, Serian dan Batu 8, ribuan rakyat Sarawak menunggu dengan sabar di tepi jalan untuk melihat kelibat Seri Paduka dari dekat.
Setibanya di Kuching, pekarangan hotel gempita dengan sorakan orang ramai mengalu-alukan keberangkatan tiba Al – Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal.
Turut hadir Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nasar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketika ini sedang berlangsung Majlis Penutup dan Malam Santapan Kerajaan Negeri meraikan baginda. – TVS