SEMATAN, 13 Sept: Bertolak dari rumahnya di Simunjan pada 3:30 pagi dan tiba di Telok Melano pada 6 pagi, malah sanggup menunggu ketibaan rombongan Kembara Kenali Borneo selama berjam-jam.
Itu semangat dan komitmen tinggi ditunjukkan seorang graduan jurusan Syariah dan Undang-undang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Aisyah Syahida Sabang hendak berjumpa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau mahu mendapatkan tandatangan daripada Agong, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di atas gambar konvokesyennya di universiti berkenaan.
“Alhamdulillah. Penantian saya tidak sia-sia, berpanas, haus dari pagi tadi. Tak rugi sebab saya berjaya mendapatkan semua tandatangan (Agong dan anakanda-anakanda baginda),” katanya kepada TVS yang ditemui di Telok Melano di sini, hari ini.
Telok Melano adalah persinggahan terakhir Al-Sultan Abdullah untuk Kembara Kenali Borneo di Sarawak.
Kembara Kenali Borneo yang untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, bermula pada 3 September di Tawau, Sabah.
Kembara selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – TVS