KUCHING, 14 Sept: “Kenapa perlu cakap termasuk Sabah dan Sarawak.” Itu ungkapan dalam iklan yang tidak wajar digunakan menurut penganalisis sains sosial dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mahiswaran Selvanathan.
Jelasnya, beliau sedih apabila pengiklan menggunakan frasa “seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak” sedangkan dua negeri itu adalah dua entiti yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Sambutan Hari Malaysia sewajarnya mampu memberi kesedaran kepada semua rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai negeri.
“Hari Malaysia diharap mengubah pemikiran rakyat Malaysia daripada hanya menekankan atau hanya beranggapan semangat itu kekal di Semenanjung atau di Sabah Sarawak sahaja, sedangkan semangat itu dirasai di seluruh Malaysia,” katanya ketika dihubungi TVS.
Mengulas lanjut, Mahiswaran berkata keutuhan perpaduan rakyat Malaysia boleh dilihat dengan jelas semasa sambutan Hari Malaysia ataupun Hari Kebangsaan.
Tambah beliau, ahli-ahli politik juga memainkan peranan penting selain rakyat sendiri untuk mengekalkan perpaduan ini.
Sentimen perkauman, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera merupakan perkara sensitif untuk dibincangkan dan dikhuatiri dapat mengganggu keharmonian rakyat.
Menurutnya, ahli-ahli politik perlu mengawal emosi dan tidak membangkitkan hal-hal ini terutamanya di Parlimen dan kempen pilihan raya kerana akan mencetuskan perselisihan faham.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching pada Sabtu ini.
TVS akan menyiarkan siaran langsung sambutan berkenaan bermula 6 petang pada 16 September ini. Saksikan menerusi saluran 122 MYTV dan Astro, manakala menerusi media sosial TVS, TikTok Entertainment dan YouTube TVS Entertainment. – TVS