KUCHING, 13 Sept: Dalam pertemuan pertama kali dengan mentuanya yang berketurunan suku kaum Iban, kira-kira 18 tahun lalu, Richard Barnabas yang berasal dari Ipoh, Perak berjanji untuk membawa isterinya pulang setiap tahun bagi meraikan Hari Gawai.
Setelah sekian lama mendirikan rumah tangga dan dikurniakan lima orang cahaya mata, ikrar yang turut dibuat jejaka berbangsa India ini di hadapan keluarga besar isterinya Cherry Bungawangi Igai, 40, itu masih dapat disempurnakannya.
Mengimbau semula peristiwa pada tahun 2005 itu, Richard yang pertama kali terbang dari Kuala Lumpur ke Bandar Raya Kuching, terpaksa menempuh perjalanan selama lima jam dengan menaiki bas, untuk menemui keluarga Cherry di Betong.
Ketika berkahwin Richard berusia 32 tahun sementara Cherry berusia 25 tahun. Cherry pernah belajar di sebuah kolej swasta di Kuantan, Pahang sebelum bertemu dengan Richard.
Bagi Richard, perjalanan sejauh 250 kilometer (km) dengan tiket bas berharga kurang daripada RM15 itu menandakan permulaan ikatan hidupnya dengan Bumi Kenyalang dan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga masyarakat Iban.
Setahun selepas pertemuan bersejarah itu, Richard yang segak berpakaian ‘baju burung’ manakala Cherry memperagakan busana tradisional Iban ‘Ngepan’ melangsungkan perkahwinan mereka di rumah panjang milik keluarga Cherry di Betong dengan dihadiri sanak saudara termasuk keluarga Richard dari Ipoh.
“Semasa berjumpa dengan keluarga Cherry, bapa mentua saya tiada halangan dengan pilihan isteri saya (untuk berkahwin) tetapi meminta agar saya berjanji untuk pulang setiap kali Hari Gawai kerana ketika itu kami masih lagi tinggal di Semenanjung.
“Sudah menjadi tradisi keluarga kami setelah berkahwin dengan isteri untuk pulang meraikan Gawai manakala di Ipoh untuk menyambut Hari Natal bersama keluarga saya,” kata Richard yang kini sudah menetap di Kuching sejak tahun 2014, kepada Bernama.
MERAIKAN KEPELBAGAIAN
Lebih sedekad menjadi sebahagian daripada keluarga Cherry, jurutera ini tidak pernah mengambil mudah soal adat dan budaya masyarakat Iban, sebaliknya, beliau sentiasa terbuka dan bertoleransi untuk menyesuaikan diri dengan menganggap ia sebagai satu proses pembelajaran sepanjang hayat.
Mengakui mengalami ‘kejutan budaya’ pada peringkat awal, namun kesediaan keluarga mentuanya untuk mendedahkannya dengan corak kehidupan di Sarawak terutama budaya masyarakat Iban banyak membantu Richard.
Bapa mentuanya, Igai Melina, 73, turut memberikan buku bahasa Iban, bagi memudahkan anak pertama dari tiga adik beradik itu untuk berkomunikasi dalam bahasa etnik itu.
“Saya faham tetapi masih belum fasih untuk menjawab dan sehingga ke hari ini saya masih mempelajarinya. Tidak ada masalah kerana keluarga Cherry juga sering menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan saya.
“Saya masih ingat kali pertama memasuki rumah panjang Iban dan melihat tengkorak tergantung di setiap sudut rumah. Bagi saya ini bukan pengalaman menakutkan tetapi membuatkan saya ingin lebih mengetahui dan memahami budaya mereka,” kata Richard.
Cherry yang tersenyum mendengar pengalaman pertama suaminya itu turut berkongsi cerita bagaimana kedatangan Richard ke rumah keluarganya mencuri tumpuan memandangkan ini adalah kali pertama seorang berbangsa India datang ke rumah panjang di situ.
Berbeza dengan Richard, Cherry tidak mengalami kejutan budaya ketika menjadi sebahagian daripada keluarga suaminya kerana didedahkan dengan budaya masyarakat India serta cara kehidupan di Semenanjung semasa menjadi pelajar sebuah kolej swasta di Kuantan, Pahang, sebelum bertemu dengan suaminya itu.
Pendedahan awal itu membuatkan beliau tidak kekok dengan makanan masyarakat India malah roti puri yang biasa dihidangkan untuk sarapan pagi bersama kari menjadi hidangan kesukaan Cherry.
“Tidak ada kejutan budaya sebab saya sudah biasa bahkan ketika pertama kali berjumpa dengan keluarga Richard pun mereka sangat ramah. Walaupun suami keluarga saya beragama Kristian namun ada juga antara mereka yang menyambut Deepavali… jadi, kita sekeluarga akan turut pergi ke kuil dan saya akan memakai sari.
“Perayaan masyarakat India ini penuh warna-warni dan sangat meriah… sebelum ini, saya hanya lihat (perayaan ini) di televisyen dan filem tetapi sekarang dapat mengalaminya sendiri,” katanya.
MAKNA HARI MALAYSIA
Perkahwinan campur ini tidak hanya mengajar Richard mengenai budaya keluarga isterinya tetapi juga membantunya mengadaptasi corak didikan masyarakat Bumi Kenyalang yang terkenal dengan keutuhan perpaduan pelbagai etnik sebagai satu keluarga besar dalam membesarkan anak-anak mereka .
Nilai keharmonian dan perpaduan yang cuba disemai pasangan ini kepada lima orang anak mereka membuatkan anak-anak ini tidak memperkenalkan diri sebagai masyarakat berbangsa India atau Iban tetapi mahu dikenali sebagai ‘Malaysian’.
“Semua anak-anak kami memperkenalkan diri mereka sebagai ‘Malaysian’ dan bukan dari bangsa tertentu. Begitulah cara kami membesarkan mereka agar melihat semua orang sebagai sama,” kata Cherry.
Perkahwinan campur bukanlah satu fenomena asing bagi negeri Sarawak, malah ia sering kali menjadi topik yang disentuh oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg setiap kali berucap di mana-mana majlis antarabangsa ketika memperkenalkan identiti keunikan Bumi Kenyalang.
“Di Sarawak, kita ada kaum Cina yang kahwin dengan Melayu, Melayu kahwin Iban, Iban kahwin Cina dan situasi ini melahirkan generasi ‘Hibrid Sarawakian’ dengan sikap hormat-menghormati yang tinggi.
“Apabila orang Melayu berkahwin dengan orang Cina, keluarga Melayu akan hadir di upacara minum teh pengantin mengikut adat Cina dan keluarga Cina pula akan hadir majlis akad nikah,” kata Abang Johari.
Bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Bumi Kenyalang, Richard berkata, Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun antara yang turut dinantikan untuk diraikan kerana mengingatkan mereka kepada harga sebuah perpaduan.
Baginya, hari tersebut amat penting dalam menyemarakkan kembali serta mengukuhkan semangat kebersamaan dan perpaduan yang terjalin selama ini dengan membawa masyarakat untuk bersama-sama menyoroti atau mengingati kembali pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
“Nikmat keharmonian yang kita alami dan warisi ini amat berharga buat warga Malaysia. Daripada kita bertengkar perkara tidak berfaedah, lebih baik kita kukuhkan dan tunjukkan pada dunia walaupun berbeza agama, bangsa namun, masih lagi mampu bersatu dan berjaya.
“Kepelbagaian ini sebenarnya merupakan satu permata buat Malaysia,” katanya. – TVS