Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Telok Melano merupakan destinasi terakhir Kembara Kenali Borneo. Foto: Odleen Catherny

Agong, Permaisuri akhiri Kembara Kenali Borneo di Telok Melano

ByAkma Salleh

SEMATAN, 13 Sept: Setelah menelusuri perjalanan sejauh 1,166 kilometer dari Lawas bagi program Kembara Kenali Borneo di Sarawak, Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan menamatkan jelajah di Telok Melano, hari ini.

Baginda berdua akan disambut oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep.

Setibanya di sini, baginda berdua akan menandatangi plak Kembara Kenali Borneo Telok Melano, seterusnya menghadiri majlis pecah tanah Masjid Telok Melano sebelum mencemar duli untuk santapan tengah hari.

Berangkat sama ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Terletak kira-kira 33 kilometer (km) dari pekan Sematan, jajaran Telok Melano-Sematan merupakan bahagian Lebuhraya Pan Borneo yang pertama disiapkan dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Januari 2019.

Jajaran yang terletak di bahagian barat daya Borneo, bersempadanan dengan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia merupakan titik permulaan Lebuhraya Pan Borneo merentasi bahagian timur Tempat Lindungan Samunsan serta Taman Negara Tanjung Datu dan Gunung Gading yang menjadi tarikan utama pelancong.

Lokasi itu ialah satu daripada legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem untuk rakyat Tanjong Datu semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima pada 2014 hingga 2017 sebelum meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Rancangan asal adalah untuk membina lebuh raya dari Sematan ke Miri sahaja, tetapi atas permintaan Allahyarham pada ketika itu, Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pakej laluan Telok Melano membabitkan kos tambahan RM580 juta. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan