BINTULU, 12 Sept: Sambutan dan layanan rakyat jelata di Rumah Panjang Raymond Plen, Sebauh terhadap rombongan Kembara Kenali Borneo menyentuh hati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayattudin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sambutan di sini, cukup-cukup sayu untuk saya tinggal sekarang,” titah baginda yang kini dalam perjalanan Kembara Kenali Borneo menuju ke Kuching, hari ini.
Semasa kunjungan di rumah panjang berkenaan pada Isnin, Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa dengan aktiviti memasak, memancing dan beramah mesra dengan rakyat jelata.
Menurut baginda lagi, ini merupakan kali pertama baginda menjejakkan kaki ke rumah panjang.
“Saya berterima kasih kepada Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan menteri-menteri yang bersama dengan saya kerana saya dapat pertama kali sampai ke rumah panjang,” titah baginda.
Berangkat sama menyertai konvoi Kembara Kenali Borneo ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Kembara Kenali Borneo adalah untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak yang bermula di Tawau pada 3 September lepas.
Penjelajahan selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – TVS