SIBU, 12 Sept: Juara dunia pertandingan biola (kategori klasik) Imran Azim Iskandar diberi penghormatan membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis santapan malam bersama komuniti di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di sini.
Pemain biola berasal dari Sibu itu turut menerima tandatangan Seri Paduka pada biolanya sebelum konvoi Kembara Kenali Borneo berangkat pulang.
Imran Azim, 17, sebelum ini mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas genre muzik klasik pada World Championship of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Anaheim, Amerika Syarikat.
Majlis di MUC turut menyaksikan keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof. -TVS