LIMBANG, 12 Sept: Pembekal dan pemborong bagi bekalan beras untuk Bahagian Limbang hanya menjual beras putih import yang mengalami kenaikan harga di pasaran tempatan.
Pemborong bumiputera bagi bekalan beras di bahagian Limbang yang juga pengusaha Syarikat S Ahmad And Son Limbang, Mohamad Ahmad berkata, kebanyakan beras yang dijual di pasaran adalah beras putih import.
Beliau berkata bekalan beras itu semuanya diimport dari Vietnam, Kemboja, dan India yang dibungkus semula dengan jenama syarikat itu sendiri iaitu beras Cap Karabau yang terkenal di pasaran.
“Bekalan beras Super Spesial Tempatan (SS) yang dijual mengikut harga subsidi hanya didapati dengan mudah di Semenanjung Malaysia dan sebab itu kenaikannya beras putih import ketara sekarang ini yang dalam purata dari RM8 hingga RM10 untuk 10 kilogram (kg) sepaket,” katanya ketika ditemui media di kedai milik syarikatnya S Ahmad And Son hari ini.
Jelas Mohamad lagi, pada masa ini katanya stok bekalan bagi beras putih import adalah mencukupi di gudang.
Bagaimanapun katanya bagi bekalan beras wangi, pihaknya terpaksa menunggu tempahan sehingga tiga minggu atau selewatnya sebulan sebelum sampai ke daerah Limbang.
Antara jenama beras putih import yang dijual syarikat itu ialah Karabau Danau, Aroma Ria, beras Adeeb, Puteri Myra, Karabau Pahlawan, Sagan Ria, Beras Pulut Meritam dan jenama lain.
Sementara itu, bagi Sunting Pasang, seorang peniaga ikan dari Kampung Baru Kuala Berawan berkata, beliau dan keluarga tidak mempunyai pilihan selain membeli bekalan beras putih import di pasaran sejak dulu.
Katanya hanya beras putih import yang mudah didapati di pasaran berbanding beras SST.
Kenaikan harga bagi beras putih import pada masa ini katanya turut memberi kesan kepada rakyat termasuk di utara Sarawak. – TVS