SIBU, 12 Sept: Lagu berjudul Pesanan Buat Kekasih dan Gurindam Jiwa dendangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menambat hati rakyat jelata.
Baginda berdua berkenan mendendangkan lagu di atas pentas Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di sini sempena Majlis Santapan Malam Bersama Komuniti, malam tadi.
Sebelum itu, baginda berkenan bertitah di hadapan para hadirin termasuk Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Para hadirin turut sama-sama mendendangkan lagu berkenaan.
Sebelum berangkat pulang ke tempat penginapan, penganjur majlis berkenaan menyediakan kek sempena hari keputeraan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Kedua anakanda Seri Paduka berdua itu menyambut hari keputeraan pada 11 Sept (Tengku Ahmad) dan 17 Sept (Tengku Hassanal).
Berangkat sama dalam Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah anakanda Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Kembara Kenali Borneo untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.
Kembara sejak 3 hingga 13 September itu, bermula dari Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano, melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – TVS