KUALA LUMPUR, 10 Sept: Semua syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini dijangka menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) mengenai pemilikan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh dapat dipercepatkan dengan penglibatan telco dalam SSA syarikat yang ditubuhkan kerajaan bagi memacu pembangunan rangkaian 5G negara.
Katanya, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Malaysia telah mencecah 68.8 peratus setakat 31 Ogos lepas, dan dijangka mencapai 80 peratus menjelang hujung tahun ini.
“Paling lewat (untuk mencecah 80 peratus) mungkin pada Januari (tahun hadapan) jika semua berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Sungai Klang, di sini hari ini.
Pada 21 Julai lalu, Fahmi berkata CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan rundingan pemilikan saham dalam DNB, sekali gus menyokong pembangunan rangkaian 5G negara. -TVS