KUALA LUMPUR, 11 Sept: Kerajaan telah menambah jumlah siling perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 billion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peningkatan itu adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
“RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.
“Justeru, kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025,” katanya di Parlimen sewaktu membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 2021-2025.
Dalam pada itu, Anwar berkata KSP RMK12 akan menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan
Beliau berkata RMK12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh lima tahun.
Bagi tempoh dua tahun yang pertama, kerajaan telah membelanjakan sejumlah 34 peratus, katanya.
“Pada tahun 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada tahun 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion,” katanya.
Menurut Anwar, dalam masa yang singkat juga, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kerajaan untuk mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan yang betul.
Hasilnya, dalam tempoh separuh pertama tahun 2023, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara telah mencatat peningkatan sebanyak 4.2 peratus, didukung oleh kegiatan sektor swasta dan perdagangan yang baik, kata Perdana Menteri.
Beliau berkata prestasi pasaran buruh juga semakin baik dengan kadar produktiviti yang lebih tinggi, iaitu 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2021-2022, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun 2023.
“Malah, kadar inflasi pada Julai 2023 telah menurun kepada 2.0 peratus, rekod terendah dalam tempoh 24 bulan.
“Pendapatan negara kasar per kapita lebih tinggi, iaitu RM52,968 (US$12,035) pada tahun 2022 berbanding RM42,838 (US$10,191) pada tahun 2020,” katanya.
Sementara pada peringkat domestik, Anwar berkata Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat telah meningkat sebanyak 1.3 peratus setahun.
Beliau menambah pendapatan rakyat juga telah bertambah baik dengan pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat kepada RM8,479 pada tahun 2022 daripada RM7,901 pada tahun 2019. – TVS