KLANG, 11 Sept: Kempen Pusing Selangor Dulu yang dilancarkan Tourism Selangor berjaya menarik kehadiran lebih 4.2 juta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, angka yang dicatat setakat Ogos itu telah menghampiri sasaran tahun ini iaitu kemasukan lima juta pengunjung ke Selangor.
“Semenjak industri pelancongan domestik berkembang, ramai pelancong domestik memilih untuk melancong ke dalam negara termasuk Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis makan malam sempena Program Berambeh Lembah Klang anjuran Tourism Malaysia di Premiere Hotel, Klang pada Sabtu.
Sehubungan itu, Azrul Shah berkata, pihaknya dengan Tourism Malaysia bekerjasama memberi tumpuan untuk memacu pertumbuhan sektor berkenaan di sini.
“(Hasilnya dalam tempoh) lapan bulan ini, kita melihat peningkatan pelancong domestik yang mendadak,” katanya.
Tambahnya, Tourism Selangor juga mempelawa lebih ramai rakyat Sarawak dan Sabah melancong ke Selangor.
“Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini selain membeli – belah, pelawat boleh pergi ke taman tema serta pelbagai tempat menarik yang lain,” katanya.
Berhubung kerjasama pelancongan Selangor dengan Sabah dan Sarawak pula, Azrul Shah memberitahu, perkara itu sudah lama dilaksanakan dan dapat dilihat dengan kewujudan pelbagai produk dari Borneo di sini.
“Jadi ini membuktikan orang Sarawak ramai datang ke sini.
“Malah ada restoran yang menyajikan Laksa Sarawak dan Mi Kolok. Jadi hubungan ini sudah lama terjalin, kita ingin tingkatkan lagi,” katanya. -TVS