Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengurus Besar Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), Dr. Peter Morin Nissom menerima cenderamata selepas melancarkan ISoI ke-5 di Pullman Hotel, pada Isnin. Foto: TVS

Sarawak sasar 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030

ByYusuf Shukri

KUCHING, 11 Sept: Sarawak menyasarkan kemasukan sebanyak 60 peratus pelajar ke aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjelang 2030.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, setakat ini, kemasukan pelajar ke aliran itu sebanyak 30 peratus.

“Walaupun sudah mencapai separuh daripada sasaran, usaha ini tidak boleh hanya dilakukan oleh kerajaan sahaja.

“Pemegang amanah dan pemain industri juga perlu memainkan peranan aktif dengan memberi sokongan terhadap pendidikan STEM yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) Dr Peter Morin Nissom sempena perasmian Simposium Antarabangsa Serangga (ISoI) kelima yang berlangsung sehingga 13 September.

Roland Sagah berkata, sasaran untuk meningkatkan kemasukan pelajar ke aliran STEM penting supaya dapat memacu kemajuan dalam ekonomi digital di samping memelihara kepelbagaian biodiversiti di sini.

Sementara itu beliau memaklumkan, Pusat Sains Sarawak yang sedang dibina membabitkan kos RM200 juta dijangka akan siap pada tahun depan.

“Kita sangat berminat untuk bekerjasama dengan Persatuan Entomologi Malaysia (ENTOMA) dan universiti lain bagi menganjurkan pameran interaktif di pusat tersebut nanti untuk mempamerkan kepentingan serangga dalam kitaran ekosistem,” tambahnya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan