KUALA LUMPUR, 11 Sept: Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang baharu, merangkumi bidang teknologi digital akan diperkenalkan bagi menyediakan pelajar untuk menguasai Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, usaha itu akan dilaksanakan bagi meningkatkan enrolmen murid dalam STEM bagi menambah baik bidang itu.
“Selain itu, kaedah latihan dan pengajaran guru dalam kemahiran pemikiran kritis, pembelajaran kreatif dan penyelesaian masalah akan dipertingkatkan lagi bagi membangunkan kemahiran murid untuk masa hadapan,” menurut kajian itu.
Kajian itu turut melaporkan usaha memantapkan pembangunan modal insan MADANI melalui penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah akan diperluas dengan pelaksanaanya menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam dan di luar bilik darjah.
Penerapan itu akan memberi penekanan kepada aspek pembentukan akhlak dan pembangunan sahsiah bagi membina jati diri dalam kalangan murid untuk melahirkan generasi yang berdaya tahan dan berdaya saing.
Sementara itu, kajian itu memaklumkan sistem digital untuk meningkatkan keberkesanan proses penyaringan permohonan program baharu yang ditawarkan universiti awam akan dibangunkan bagi menangani ketidakpadanan kemahiran di peringkat sumber, sekali gus meminimumkan bilangan kursus pelengkap tambahan.
Sistem itu akan disepadukan dengan pangkalan data yang berkaitan, termasuk unjuran pekerjaan, penawaran program pengajian pada peringkat antarabangsa dan program yang telah diakreditasi.
Pelan pendigitalan yang komprehensif bagi institut pengajian tinggi (IPT) awam juga akan dirangka merangkumi enam bidang tumpuan iaitu tadbir urus, kecemerlangan akademik, kompetensi digital, infrastruktur dan infostruktur digital, penyelidikan dan inovasi serta pembudayaan digital.
Selain itu, rangka kerja akan diwujudkan bagi mengharmonikan ekosistem pendidikan tinggi melalui penjajaran program yang ditawarkan oleh semua IPT dengan aspirasi nasional dan maklumat mengenai program yang ditawarkan akan dikumpul dan diklusterkan berdasarkan aspirasi negara serta bidang tujahan.
Rangka kerja itu akan menetapkan IPT awam menerajui sekurang-kurangnya satu keutamaan negara manakala program yang ditawarkan oleh IPT swasta menjadi pelengkap, selain akan menggariskan mekanisme penilaian yang lebih mantap bagi program pengajian yang ditawarkan oleh IPT swasta.
Di samping itu, peranan IPT dalam penyelidikan sosial juga akan diperluas dalam aspek berkaitan nilai hormat, kesaksamaan, kepelbagaian budaya, tradisi keagamaan serta sejarah negara untuk memupuk nilai ihsan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Inisiatif ini akan membolehkan IPT memainkan peranan yang lebih aktif bagi memperkasakan komuniti dan membangunkan masyarakat yang saksama. – TVS