TANJUNG MANIS, 11 Sept: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM267 juta bagi pelaksanaan projek pembinaan Tebingan Pantai Belawai sekali gus bakal memberi wajah baharu kepada kawasan tumpuan pengunjung itu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, peruntukan projek berimpak tinggi itu diluluskan dalam semakan pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Dalam semakan pertengahan penggal RMK-12, sebanyak RM267 juta peruntukan telah diluluskan untuk pelaksanaan projek pembinaan Tebingan Pantai Belawai,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Kebudayaan dan Makanan di Pantai Belawai, petang semalam.
Tambah beliau, projek berkenaan meliputi sepanjang tebingan pantai dari Pejabat Jabatan Saliran dan Pengairan (DID) Belawai hingga ke Kampung Lama Belawai.
Jelasnya, ia merupakan sebahagian agenda pembangunan kerajaan yang bakal memberi impak besar terhadap sosioekonomi masyarakat setempat di samping membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap rakyatnya.
“Dalam perancangan, kita hendak menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke sini. Oleh itu, kita perlu menyediakan kemudahan asas seperti air, elektrik, penginapan, talian internet dan banyak lagi,” ujarnya lagi.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, pelan pembangunan bersifat jangka panjang itu tidak hanya mengubah landskap Pantai Belawai tetapi sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. – TVS