BINTULU, 11 Sept: Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Rumah Panjang Raymond Plen, Kampung Gelam, Ulu Sebauh di sini dianggap amat bermakna oleh penghuni di situ.
Tuai Rumah, Raymond Plen berkata, lawatan itu juga bakal melakar sejarah.
“Saya mewakili penduduk ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memilih rumah panjang saya sebagai salah satu ‘pit stop’ Agong dan Raja Permaisuri hari ini.
“Lawatan ini sangat bermakna kerana baginda bertemu dengan 800 penduduk di sini yang berbilang kaum termasuk masyarakat Melayu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Lawatan Seri Paduka berdua hari ini turut diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Menarik mengenai rumah itu kata Raymond, ia sudah berusia lebih 40 tahun dan mengekalkan keaslian pembinaannya menggunakan kayu belian.
“Ini supaya nilai sentimentalnya tidak lupus ditelan zaman,” katanya.
Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kesembilan hari ini menyaksikan Tunku Azizah berkenan menyediakan empat menu kepada penduduk selain menyerahkan bantuan asnaf kepada penduduk rumah panjang berkenaan.
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Tokong Yu Lung San Tian En Si.
Konvoi juga dijadual bergerak Dewan MUC, Kampung Bandung, Sibu, untuk santapan malam ini. -TVS