Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Noridah Abdul Rahim (kanan) menyertai sukarelawan pelajar membancuh simen bagi pembinaan laluan pejalan kaki murid pra sekolah di SK Limbuak. Foto: TVS

KPN perkasa pemimpin muda menerusi Misi Sukarelawan Siswa Ke Sabah

KUDAT, 11 Sept: Pelaksanaan Program Ini Warisan Kita Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah memperlihatkan usaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk memperkasakan pemimpin muda bagi menyumbang khidmat kepada masyarakat.

Ketua Setiausaha KPN, Datuk Noridah Abdul Rahim berkata, program yang dilaksanakan di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) itu telah memberi impak positif menerusi pendedahan secara bersemuka antara mahasiswa dengan komuniti setempat di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terlibat.

Dato’ Indera Noridah melawat pembinaan laluan pejalan kaki murid pra sekolah SK Limbuak. Foto: TVS

“Bermula 9 September lepas, seramai 90 mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia telah dibawa ke Sabah untuk menyertai misi ini di tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Papar.

“Menerusi program ini, kita dedahkan mahasiswa untuk menyantuni dan melihat sendiri keadaan masyarakat dan meminta anak-anak muda ini untuk memberi khidmat yang diperlukan oleh komuniti.

“Ini penting untuk kita melatih dan seterusnya melahirkan warganegara yang memiliki semangat sukarela,” katanya ketika ditemui semasa Program Penyerahan Sumbangan RTCARES di Sekolah Kebangsaan (SK) Limbuak, Pulau Banggi dekat sini.

Dato’ Indera Noridah (dua, kiri) menyampaikan sumbangan RTCARES berupa bakul makanan kepada salah seorang penerima. Foto: TVS

Tambahnya, program ini juga menjadi platform bagi belia di Semenanjung Malaysia untuk mengenali serta berkongsi pelbagai budaya dan adat resam yang ada di Sabah.

Selain pemerkasaan komuniti, Noridah berkata, pendidikan turut diberi keutamaan menerusi program tersebut dengan melihat kekurangan yang boleh ditambah baik di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Menurutnya, inisiatif berkenaan termasuk dalam enam teras matlamat YSS, selain pelaksanaan projek saringan kesihatan, pembinaan laluan pejalan kaki ke bangunan pra sekolah, pendedahan semangat patriotisme serta perancangan membina perpustakaan mini bagi meningkatkan literasi membaca dalam kalangan murid sekolah.

“Kementerian menerusi YSS juga akan terus melihat dan memantau semula progres setiap projek yang telah dilaksanakan dan ini memerlukan kerjasama erat dengan Kawasan Rukun Tetangga.

“Kita juga akan melihat apa lagi yang boleh dibantu di bawah bidang kuasa kementerian dan mungkin akan bekerjasama juga dengan kementerian lain yang boleh membantu kita,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 60 penduduk KRT Kampung Limbuak menerima sumbangan RTCARES berupa bakul makanan semasa program tersebut.

Hadir sama, Lembaga Pengarah YSS Sherene Azura Azli, Setiausaha Bahagian Kementerian Perpaduan Negara Khairulnizam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif YSS Wong Kin Lun, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah Delin Liet Blaun, dan Guru Besar SK Limbuak Osman@Tahir Mohammad. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan