KOTA SAMARAHAN, 11 Sept: Rancangan Sarawak membekalkan tenaga elektrik ke Singapura tidak akan memberi kesan terhadap bekalan elektrik bagi kegunaan domestik di negeri berkenaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata elektrik dibekalkan ke negara berkenaan adalah lebihan tenaga dijana Sarawak dengan kapasiti maksimum 1,000 megawatt.
Menurutnya, tarif elektrik yang dijual ke negara berkenaan juga jauh lebih tinggi berbanding dengan tarif dikenakan kepada pengguna di Sarawak.
“Apa yang kita eksport ke Singapura adalah lebih mahal daripada pengguna domestik kerana ia merupakan salah satu sumber pendapatan kita.
“Beberapa tahun ini kita telah mengeksport tenaga ke Kalimantan, Indonesia dan ia masih berterusan sehingga kini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi Kursus Rekabentuk Sistem Solar Photovoltaic EIU di Unimas di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni dan Naib Canselor Unimas, Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Beliau berkata, pengeksportan tenaga ke Singapura hanya melibatkan bekalan elektrik sahaja manakala pembinaan kabel bawah laut sepanjang 700 kilometer (km) akan ditanggung Singapura.
Pembinaan kabel tersebut dari Tondong ke Singapura akan melalui Koridor Muri Midai di perairan Indonesia dengan 80 peratus laluan kabel tersebut adalah di perairan Indonesia.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan nilai perjanjian terbabit memandangkan ia merupakan perjanjian komersial selain rundingan berkaitan masih berlangsung.
Menurutnya, kajian mengenai pembinaan kabel bawah laut sudah dilakukan oleh Sarawak Energy berhad dan ia menjangkaui jangkaan asal projek berkenaan.
“Untuk bina kabel bawah laut sepanjang 700km itu akan mengambil masa yang panjang dan sebab itulah kita ada Pelan Strategi Covid-19 (PCDS) 2023 yang menjadi pelan jangka panjang kita,” katanya. – TVS