KUANTAN, 11 Sept: Apabila disebut “Dayung Kumang”, pasti ramai yang tertanya-tanya maksud di sebalik perkataan itu, khususnya bagi penduduk di sekitar daerah ini.
Sambil ketawa, anak kelahiran Serian, Sarawak Nor Ain Anne Allan, 30, berkongsi kepada Bernama dua perkataan berkenaan bermaksud “wanita atau gadis” dan menjelaskan Dayung berasal daripada bahasa Bidayuh manakala Kumang ialah Bahasa Iban, mengambil kira keturunan ibu bapanya.
Dibuka sejak tahun lepas, nama kedai makanan yang unik itu menurut Nor Ain Anne, jelas menggambarkan identitinya selaku penjual pelbagai juadah dari Bumi Kenyalang.
“Dayung Kumang selalu menjadi pembuka bicara antara saya dengan pelanggan kedai ini kerana mereka sentiasa ingin tahu maksudnya,” katanya semasa ditemui di kedainya di Jalan Wong Ah Jang di sini.
Ibu kepada dua anak lelaki itu berkata beliau mengusahakan perniagaan berkenaan kerana mahu memperkenalkan dan berkongsi keunikan makanan Sarawak seperti mi kolok, laksa Sarawak, mi sapi, crispy mi tomato, nasi aruk ikan terubuk masin dan nasi aruk dabai dengan penduduk di sini, selain mengubati kerinduan terhadap juadah itu.
Lebih menarik, suaminya Amirul Asraf Ahmad Shohor, 32, yang merupakan anak jati Kuantan, sebelum ini juga kerap merungut sukar mendapatkan mi kolok pada waktu pagi di sini sebagaimana kebiasaan menjadikan juadah itu sebagai sarapan apabila pulang ke kampung mentua.
Selain mi kolok yang merupakan antara menu pilihan, Nor Ain Anne berkata satu lagi yang melengkapkan cita rasa Sarawak di Dayung Kumang ialah ayam pansuh iaitu ayam bersama pucuk ubi dimasak di dalam buluh dan disebabkan tempoh memasaknya agak lama, maka ia dijadikan hidangan istimewa hujung minggu di kedai itu.
Nor Ain Anne berkata selain orang Sarawak yang menetap di sini, kedainya turut menerima ramai pelanggan warga tempatan termasuk dari daerah berhampiran bagi mencuba makanan Sarawak yang sebelum ini hanya diketahui menerusi pembacaan atau melihat gambar di majalah atau media sosial.
“Makanan Sarawak menjadi penghubung saya dengan pelanggan tempatan di sini. Mereka sering bertanya bagaimana rasanya sebelum membuat keputusan apa yang hendak dipesan, selain ada yang mahu tahu bagaimana cara kami (di Sarawak) makan mi kolok, adakah dihirup supnya atau dicampurkan ke dalam mi?
“Perbualan ringkas seperti ini, menjadikan kami rapat. Tahu-tahu mereka menjadi pelanggan tetap kerana ingin mencuba juadah lain yang belum pernah dipesan dan disebabkan selalu berjumpa, kami seperti kawan,” katanya.
Selain makanan, Nor Ain Anne berkata “Dayung Kumang” turut menyediakan minuman signature atau istimewa Bumi Kenyalang seperti teh c, pandan layer tea dan wheatgrass serta sirap grenadine yang dibawa khas dari Sarawak.
“Bagi memberi lebih pengalaman kepada pelanggan, kami menggunakan konsep kopitiam Sarawak seperti pinggan, mangkuk dan dekorasi. Kraf tangan seperti anyaman tikar, bakul dan kain pua kumbu yang dipamerkan di kedai diambil dari rumah keluarga di Sarawak,” katanya.
Nor Ain Anne meluahkan rasa bertuah kerana ibunya Christina Saing, 52, yang menetap di Kemaman, Terengganu sanggup berulang-alik setiap hari ke Kuantan demi membantu operasi kedai khususnya melakukan “kawalan kualiti” supaya rasa makanan yang dijual benar-benar asli.
Bagaimanapun, Nor Ain Anne berkata atas tuntutan urusan keluarga, beliau terpaksa menghentikan sementara operasi Dayung Kumang bulan ini untuk pulang ke Sarawak dan tanpa diduga menerima kata-kata semangat daripada pelanggan.
“Mereka memberikan kata semangat dan mendoakan yang baik-baik. Selain secara bersemuka, ada yang menghantar mesej menyebabkan saya terharu. Sebelum ini, saya selalu dengar orang berkata makanan sebagai pengikat kasih sayang dan sekarang saya mengalaminya.
“Dayung Kumang bukan sekadar perniagaan kepada saya, sebaliknya permulaan silaturahim kepada kami. Insya-Allah kami akan kembali semula kerana tidak mahu menghampakan semua rakan. Jika terlalu lama bercuti, pasti ramai yang akan rindu bersarapan dengan mi kolok,” katanya. – TVS