Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seramai 7,925 warganegara India ditahan di penjara asing atas pelbagai kesalahan dan 290 daripadanya di Malaysia.
Seramai 1,020 banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup kini boleh memfailkan permohonan untuk membuat semakan hukuman. Foto hiasan

Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 berkuat kuasa esok (12 Sept)

ByBernama

PUTRAJAYA, 11 Sept: Seramai 1,020 banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup kini boleh memfailkan permohonan untuk membuat semakan hukuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini berikutan penguatkuasaan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) bermula esok, 12 Sept, susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lepas.

Azalina dalam satu kenyataan hari ini berkata Jemaah Menteri pada 30 Ogos lepas telah bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah berhubung semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dicadangkan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

Pihak terlibat termasuklah Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society (SLS) dan Advocates Association of Sarawak (AAS) bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM).

“Keutamaan kepada pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain,” katanya.

Azalina berkata antara mekanisme yang dipersetujui adalah, bagi banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi mewakili mereka dalam proses semakan hukuman itu,  mereka boleh mendapatkan khidmat guaman melalui peguam yang dilantik oleh mahkamah.

Bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat pula, mereka boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK, katanya.

“Kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan ini mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Azalina berkata penguatkuasaan Akta 847 melalui mekanisme yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri mencerminkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia sejagat.

“Hal ini membuktikan bahawa prinsip restorative justice dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara.

“Malahan, ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai rakyat biasa,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan