BELAGA, 11 Sept: Sebuah rumah panjang 15 pintu musnah dalam kebakaran di Uma Nyaving, Long Mejawah Sungai Asap di Belaga, hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5, Penguasa Kanan Bomba Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, kebakaran melibatkan mangsa yang tinggal di Blok B yang merupakan rumah struktur tidak kekal dua tingkat di skim penempatan semula itu.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.02 pagi tadi, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda bergegas ke lokasi.
“Sementara menunggu kehadiran anggota BBP berkenaan, Pasukan Bomba Sukarela Sungai Asap terlebih dahulu diarah untuk menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati 15 pintu rumah di blok berkenaan telah musnah sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, Pasukan Bomba Sukarela memadamkan kebakaran secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ di Blok B dan Blok C.
“Kita dimaklumkan bahawa anggota bomba masih melakukan pemadaman bagi mengelak api merebak ke blok berhampiran.
“Setakat 12 tengah hari, kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan,” katanya.
Wan Kamarudin memberitahu, kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan jiwa dan punca akan disiasat oleh Unit Penyiasatan Kebakaran JBPM Zon 5. -TVS