MIRI, 10 Sept: Persembahan kebudayaan daripada kaum Kedayan, Iban dan Cina bakal menyerikan rombongan Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Pantai Bungai, Bekenu, hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus berkata etnik Kedayan mempersembahkan muzik Kulin Tangan Sedaman, Iban pula Ngajat dan Cina dengan Persembahan Singa.
“Hari ini di Pantai Bungai kita mengganggarkan sekitar 5,000 hadirin, orang awam dan juga mereka yang akan membuat persembahan,” katanya ditemui TVS ketika menanti keberangkatan tiba Agong dan Permaisuri Agong di Pantai Bungai, hari ini.
Rosey berkata pihaknya mahu menyediakan lebih banyak lagi persembahan khas untuk tatapan Agong dan Permaisuri Agong, namun pihaknya memahami kekangan masa pergerakan kembara ke lokasi seterusnya.
Menurutnya, pelbagai aktiviti rakyat telah diatur bagi menyambut rombongan diraja itu.
“Permainan rakyat juga dianjurkan antaranya bowling kelapa, tarik tali, tarik upih, seremban dan juga congkak.
Kehadiran rakyat jelata yang ramai di pantai berkenaan menggambarkan mereka begitu teruja ingin menyaksikan sendiri pasangan diraja.
Katanya lagi dua laluan disediakan kerana memahami ada antara penduduk bagi memudahkan pengunjung.
“Kita yakin ramai lagi yang akan datang hari ini. Ada yang mungkin akan menunggu di laluan-laluan yang telah disediakan,” katanya.
Kembara Kenali Borneo dijadual akan berangkat ke Kampung Penan Muslim, Batu 10, Bintulu selepas selesai majlis di Pantai Bungai. – TVS