BINTULU, 10 Sept: Penduduk di rumah panjang Kayan Kenyah Rumah Luhat di sini amat teruja menyambut keberangkatan tiba Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pasangan diraja berkenaan disertai anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah kini dalam program Kembara Kenali Borneo.
Tuai Rumah, Luhat Ajeng berkata, beliau dan rombongan dari rumah panjang tersebut tiba seawal 8 pagi bagi menyambut ketibaan pasangan diraja itu di Kampung Penan Muslim Batu 10.
“Perjalanan kami mengambil masa 45 minit untuk sampai di sini. Disebabkan terlalu teruja dan tidak sabar menunggu kehadiran pasangan diraja itu, kami tidak sempat untuk bersarapan pagi dengan harapan dapat bertemu baginda berdua,” katanya ketika ditemui TVS, hari ini.
Menurutnya, isteri beliau sendiri tidak sabar untuk bertemu Raja Permaisuri.
Luhat berkata, semalam beliau juga pergi ke Miri untuk bertemu Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tetapi tidak berpeluang bersemuka secara dekat dengan pasangan tersebut.
“Saya dan isteri semalam turut ke Miri, terlalu ramai rakyat yang ingin bertemu dengan baginda berdua, begitu juga saya. Hanya sempat melihat dari jauh sahaja,” katanya lagi.
Sebelum ke Kampung Penan Muslim Batu 10, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menghadiri majlis di Pantai Bungai Bekenu untuk bertemu dengan rakyat. – TVS