SERIAN, 9 Sept: Kumpulan Pemuda Stakan muncul juara kategori terbuka lelaki dan terbuka belia pada Festival Cabaran Berakit Serian 2023 edisi ke-11 hari ini.
Pengurus kumpulan itu, Fato Azicos Ateng berkata, ini merupakan kali kedua pasukannya menang perlumbaan selepas turut mencatatkan pencapaian sama pada tahun lepas.
Kemenangan ini juga dianggap istimewa kerana anggota berlatih secara bersendirian dua kali seminggu di Empangan Bengoh, Padawan.
“Kami sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman berakit namun tetap berlatih sehingga berjaya.
“Kami memilih ahli pasukan berdasarkan umur dan kekuatan selain stamina kerana aspek berkenaan memainkan peranan penting disebabkan jarak perlumbaan yang jauh,” katanya.
Fato Azicos berkata demikian kepada TVS selepas majlis penyampaian hadiah.
Kemenangan itu menyaksikan Pemuda Stakan membawa pulang hadiah RM3,000 iaitu RM 1,500 bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Hadiah disampaikan oleh Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Dr Richard Riot Jaem.
Sementara itu, Ketua Urusetia Cabaran Berakit Serian, Mirulyana Syafinaz Mos berkata, Richard Riot mencadangkan supaya jemputan turut dibuka kepada peserta luar negara.
“Beliau mahu kita jadikan perlumbaan ini sebagai acara antarabangsa. Selepas ini mungkin kita akan jemput peserta dari Pontianak, Indonesia,” katanya.
Pertandingan tahun ini yang melibatkan perlumbaan berakit sejauh 25 kilometer disertai 784 peserta dari pelbagai agensi kerajaan tempatan dan institusi pengajian awam. -TVS