KUALA LUMPUR, 10 Sept: Ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon kagum dengan kesungguhan dan semangat kental anak buahnya selepas Malaysia hampir mengejutkan pasukan ranking ke-80 dunia, China apabila seri 1-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, semalam.
Jurulatih Korea Selatan berusia 54 tahun itu juga berpuas hati dengan prestasi pemainnya dan menganggap keputusan seri itu sudah cukup baik untuk pasukan.
“Ia adalah perlawanan yang sangat bagus menentang pasukan China yang lebih kuat dan berada di peringkat tinggi, kami juga banyak belajar daripada perlawanan ini. Saya sangat berbangga dengan semua pemain, apa yang mereka lakukan malam ini (malam tadi) sungguh membanggakan rakyat Malaysia (dan) ia harus dihormati.
“Sebagai jurulatih, saya tiada aduan, apa yang mereka lakukan adalah hebat. Bagi pasukan kami, ia adalah keputusan yang sangat baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Phoenix Hill di Chengdu.
Ketika ditanya mengenai perkembangan positif pasukan, Pan Gon berkata perubahan dalam kaedah taktikal bertujuan agar pemain menjadi lebih proaktif, dapat mengawal permainan selain tidak gentar sekali gus merupakan satu daripada elemen yang memberi impak kepada peningkatan prestasi.
Beliau berkata keazaman untuk berjuang demi negara dan sikap saling mempercayai antara pemain serta jurulatih, turut membantu dalam peningkatkan prestasi pasukan.
“Menang atau kalah itu tidak penting, prestasi kami adalah yang paling penting. Sasaran kita sudah ada, kita cuba mencipta satu lagi sejarah untuk berusaha berada pada ranking lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Pada perlawanan malam tadi, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim meletakkan Malaysia di hadapan seawal minit ke-11 sebelum Lin Liangming menyamakan kedudukan untuk China pada minit ke-36.
Keputusan itu menyaksikan Skuad Harimau Malaya yang berada di ranking ke-136 dunia, berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam aksi persahabatan tahun ini, selepas mencatat empat kemenangan dan satu seri sejak Mac lepas.
Sementara itu, Mohamad Faisal gembira dapat memberikan sumbangan kepada pasukan selepas melalui episod penggantungan selama sebulan dalam kempen Liga Malaysia baru-baru ini.
“Selepas digantung sebulan tidak beraksi, ini rezeki yang Allah beri…saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan, perlawanan malam ini (malam tadi) adalah untuk rakyat Malaysia, saya harap dalam perlawanan selepas ini kami lebih berjaya dan garang,” kata pemain pemain Selangor FC berusia 25 tahun itu.
Skuad Harimau Malaya akan beraksi pada Pestabola Merdeka 2023 bersama India, Tajikistan dan Palestin dari 13 hingga 17 Okt sebelum memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada November dan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan. – TVS