Datuk Julaihi Narawi pada Majlis Perasmian Projek ALAF Kampung Seruyuk, Sebuyau, semalam. Foto: FB Julaihi Narawi

Lebih 13,000 isi rumah nikmati bekalan elektrik menerusi ALAF

SEBUYAU, 10 Sept: Sebanyak 13,699 isi rumah telah menikmati bekalan elektrik menerusi projek Dana Permohonan Tambahan atau Lewat (ALAF) sehingga suku kedua tahun ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Dalam tempoh sama, 5,902 isi rumah dalam peringkat pelaksanaan menerusi projek yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya dan dilaksanakan Sarawak Energy Berhad itu.

Jelasnya, 532 isi rumah telah mendapat kelulusan rekabentuk dan sedang menunggu ketersediaan panel kontraktor, manakala 615 isi rumah di peringkat muktamad rekabentuk dan 7,579 pemohon sedang dalam kerja-kerja survei dan bakinya 6,000 isi rumah masih dalam peringkat tapisan.

“ALAF adalah program berterusan yang dilaksanakan secara berperingkat untuk membekalkan bekalan elektrik 24 jam ke kawasan luar bandar,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Projek ALAF Kampung Seruyuk, di sini, semalam.

Menurutnya lagi, semenjak diperkenalkan pada 2018, RM230 juta diperuntukkan bagi memastikan penduduk Sarawak dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam.

“Sebagai usaha Kerajaan meringankan beban rakyat luar bandar, pemohon di bawah sambungan skim elektrik luar bandar juga layak mendapat skim bantuan pendawaian dalam rumah.

“Pemohon boleh membayar kos pendawaian dalaman secara ansuran selama 36 bulan melalui bil elektrik Sarawak Energy,” katanya.

Julaihi berkata, bagi membekalkan elektrik kepada penduduk yang tertinggal di kawasan luar bandar, Kerajaan negeri telah merangka satu pelan iaitu Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar pada 2015.

Pelan ini diperkenalkan bagi tujuan untuk mempercepatkan penyambungan bekalan elektrik ke kawasan pendalaman melalui beberapa program yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak.

Menerusi pelan ini, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.37 bilion bagi melaksanakan 188 projek bekalan elektrik luar bandar di Sarawak.

Mengenai ALAF di Kampung Seruyuk, beliau berkata 43 pemohon di Kampung Seruyuk  menikmati bekalan elektrik dengan kos pelaksanaan sejumlah RM143,626.00 yang dilaksanakan bermula dari September 2022 dan siap sepenuhnya pada Jun 2023. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan