JAKARTA, 10 Sept: Gempa bumi kuat berukuran 6.3 magnitud menggegarkan wilayah Palu, pada kedudukan 50 kilometer utara Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia.
Gempa bumi yang berlaku pada 10.43 malam tadi, waktu tempatan, dirasai dengan kuat sehingga mencetuskan panik mereka yang ingin menyelamatkan diri akibat gegaran itu juga trauma gempa bumi Palu pada 2018.
Berdasarkan maklumat Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, pusat gempa dirasai pada kedalaman 10 kilometer dari daratan.
Menurut Ketua Pusat Gempa dan Tsunami BMKG, Dr Daryono, analisis mekanisme sumber menunjukkan gempa tersebut mempunyai mekanisme pergerakan gelongsor.
“Gempa bumi di Donggala ini adalah sejenis gempa bumi cetek yang disebabkan oleh pergerakan Plat Palu Koro seperti yang terjadi pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tiada ancaman Tsunami dan tiada kerosakan dilaporkan oleh Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) akibat gempa bumi itu.
Sebelum ini, pada 28 September 2018, gempa bumi kuat 7.4 magnitud turut berlaku di kawasan itu menyebabkan Tsunami dan ‘Liquefaction’ manakala seramai 4,340 mangsa maut akibat kejadian itu. – TVS