Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pereka fesyen Gilbert Francis Untam menunjukkan Baju Pahlawan Iban, Gagong yang diperbuat daripada kulit dan bulu ketika ditemui di butik pakaian Gilbert Headhunter @G&Co baru-baru ini. Foto: Bernama

Anak Sabah, Sarawak rai kepelbagaian di Semenanjung

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Gilbert Francis Untam berhijrah dari Rumah Panjang Malam di Nanga Tada, Kanowit ke ibu negara pada 1989 ketika baru berusia 17 tahun kerana ingin menuntut ilmu dan tinggal bersama abang yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas ketika itu.

Bagaimanapun, Gilbert tidak menyangka kehadirannya di sebuah sekolah menengah di Jalan Cochrane di sini untuk menyambung persekolahan di tingkatan lima ibarat satu ‘kejutan’ buat rakan sekelas kerana ada yang belum pernah menerima pelajar Sarawak berbangsa Iban.

Disebabkan kejanggalan itu, anak ketujuh daripada lapan adik-beradik berkenaan sering menerima soalan yang ‘pelik’ daripada ramai rakan antaranya ‘betulkah orang Sarawak tinggal di atas pokok?’ dan ‘mata wang apa yang digunakan di Sarawak?’

“Mereka seperti keliru dan tidak jelas tentang Sarawak tetapi saya tidak marah dan berusaha menerangkan sebaiknya cara hidup, adat dan tradisi kami yang sebenar,” kata Gilbert, 51, sewaktu mengimbau kisah penghijrahannya ke ibu negara kepada Bernama baru-baru ini.

Hari ini, setelah 34 tahun berhijrah, Gilbert berkata pemahaman dan penerimaan penduduk Semenanjung terhadap rakan-rakan Sabah dan Sarawak semakin baik, walaupun mengakui masih terdapat perkara yang boleh diperbaiki, bagi meningkatkan semangat kebersamaan sesama mereka.

Beliau berkata penerimaan yang baik juga membuka peluang kepada ramai anak dari Sabah dan Sarawak untuk menjalankan perniagaan dan aktiviti berkenaan adat dan tradisi kaum masing-masing di Semenanjung.

“Saya sendiri misalnya membuka butik pakaian Gilbert Headhunter @G&Co di Seri Kembangan, Selangor kerana penduduk di sini gemarkan fesyen moden yang bercirikan kebudayaan Borneo lebih-lebih lagi masyarakat Melayu dan Cina,” katanya yang merupakan graduan Reka Bentuk Dalaman daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Perak.

Menurut Gilbert fesyen adalah jambatan penghubung untuknya berinteraksi lebih luas dengan masyarakat Semenanjung kerana ia boleh menyatupadukan semua kaum dan menghakis prejudis membelenggu minda sesetengah pihak.

Sementara itu, Stevie Sebol, 38, berkata penghijrahannya ke Semenanjung, bermula sebagai pelajar tajaan Yayasan Sabah bagi mengikuti program integrasi nasional di Kedah dan Pahang pada 1998-2002 sebelum bekerja di Putrajaya, tidak mengalami sebarang masalah.

“Cuma pada peringkat awalnya, agak sukar untuk memahami dialek tempatan seperti loghat utara tetapi keramahan dan kemesraan yang dipamerkan oleh rakan-rakan dan para pendidik menjadi pemudah cara dalam pelbagai perkara.

“Apa pun isu yang dihadapi Malaysia termasuk ekonomi dan pembangunan, sifat saling menghormati akan menjana hubungan persaudaraan antara semua agama dan etnik,” katanya yang merupakan anak jati Kampung Kauluan, Tuaran.

Beliau berharap sempena 60 tahun penubuhan Malaysia, golongan belia dapat diperkasakan dengan pemikiran berwawasan supaya menjadi yang terbaik.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Serit Banyan berkata ketika ini, dianggarkan lebih 100,000 anak Sabah dan Sarawak menetap di Semenanjung dengan kebanyakannya bekerja di sektor perkilangan, kerajaan dan profesional.

“Walaupun ramai daripadanya datang dari pedalaman Sabah dan Sarawak, mereka telah berusaha sebaik mungkin untuk memahami budaya di sini dengan menjaga batas tertentu agar tidak terlibat dengan sebarang masalah.

“Selain itu mereka berasimilasi, dengan menjadikan makanan tradisi seperti ayam pansuh dan latok sebagai tarikan rakyat Semenanjung untuk berkunjung ke restoran Borneo yang ada atau ke Pasar Borneo Seri Kembangan, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan yang turut menjual produk kraf hasil hutan,” katanya.

Menurut pensyarah Taylor University itu, persahabatan bersama penduduk Semenanjung juga telah diperkukuh melalui penganjuran pelbagai program seperti Majlis Makan Malam Pesta Gawai dan Kaamatan serta pameran kebudayaan yang menggalakkan penglibatan masyarakat di sini.

“Banyak isu dan cabaran boleh diatasi apabila semangat perpaduan kukuh termasuk persepsi yang mengatakan anak Sabah dan Sarawak disisihkan daripada pembangunan atau dipandang rendah oleh masyarakat Semenanjung,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan