Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kembara Kenali Borneo singgah di Pantai Bungai, Bekenu sebelum meneruskan perjalanan ke Bintulu. Gambar menunjukkan orang ramai menunggu keberangkatan tiba Agong dan Raja Permaisuri di Pantai Bekenu pagi ini. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Agong dan Raja Permaisuri meneruskan Kembara Kenali Borneo ke Bintulu

MIRI, 10 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan meneruskan perjalanan ke Bintulu pada hari kelapan Kembara Kenali Borneo, hari ini.

Sebelum memulakan perjalanan melibatkan jarak sejauh hampir 200 kilometer (km) dari sini ke Bintulu, kembara konvoi Seri Paduka berdua itu akan mengadakan persinggahan di Pantai Bungai, satu daripada pantai di Bekenu, di sini.

Tak sempat bersarapan, teruja sambut keberangkatan tiba Agong dan Permaisuri

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Pesta Keramaian Bersama Rakyat di pantai itu yang merupakan antara lokasi tarikan di Daerah Miri, terletak kira-kira 35 km dari sini.

Berangkat sama menyertai konvoi Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Antara acara bagi mewarnai pesta keramaian yang bermula 9.30 pagi hingga 12 tengah hari itu adalah program kenduri rakyat, sukan rakyat, jualan kraftangan serta santapan tengah hari bagi meraikan kunjungan Kembara Kenali Borneo.

Usai meluangkan masa dan beramah mesra dengan rakyat di pantai berkenaan, Seri Paduka berdua bersama rombongan akan meneruskan perjalanan ke Kampung Penan Muslim, Batu 10, Miri-Bintulu untuk majlis santapan petang serta pengurniaan sumbangan bantuan asnaf di situ.

Seri Paduka berdua turut dijadualkan mengadakan sesi bergambar di Nyabau Interchange, Bintulu sebelum mengakhiri penjelajahan Kembara Kenali Borneo ke hotel penginapan.

Esok, Kembara Kenali Borneo akan meneruskan pengembaraan dengan mengadakan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak pada 13 Sept.

Kembara Kenali Borneo telah menyambung semula penjelajahan ke Sarawak menerusi Miri dengan beberapa acara dianjurkan untuk meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua bersama delegasi, semalam.

Kembara Kenali Borneo untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah, pada Khamis sejak ia bermula pada 3 Sept lepas.

Penjelajahan selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan