Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bertitah pada Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu baru- baru ini. Foto Bernama.

Agong dan Permaisuri menari ikut paluan alat muzik Sedaman di Pantai Bungai, Bekenu

ByOdleen Catherny

MIRI, 10 Sept: Kembara Kenali Borneo hari ini menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Pantai Bungai, Bekenu, di sini.

Sempena Pesta Keramaian Bersama Rakyat yang berlangsung, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan naik ke pentas dan menari mengikut rentak paluan alat muzik Sedaman yang dipersembahkan oleh Persatuan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) Sibuti.

Agong mahu rakyat hidup harmoni, bersatu hati

Baginda berdua disertai oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan paduka anakanda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Turut ke pentas, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr Ripin Lamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Baginda berdua turut menyanyi beberapa rangkap lagu diiringi paluan alat muzik etnik Kedayan itu.

Agong mahu rakyat hidup harmoni, bersatu hati

Sementara itu, Persatuan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) Sibuti yang membuat persembahan menggunakan alat muzik Sedaman sambil mengenakan pakaian tradisi Kedayan menyatakan keterujaan mereka kerana diberi peluang itu.

Penyelaras Bahagian Pemain Kayu Sedaman, Dayang Hartini Abang Ismail berkata, mereka telah berlatih selama seminggu untuk mempersiapkan 13 ahli kumpulan.

Agong mahu rakyat hidup harmoni, bersatu hati

“Ini merupakan kali pertama kami membuat persembahan untuk keluarga diraja. Memang rasa sangat gembira, bangga dan teruja.

“Istimewanya hari ini kami persembahkan lima persembahan, Kulintangan beserta tarian manakala di lapangan pula, kami persembahkan Hore Hore bersama empat penari,” katanya ketika ditemui TVS, di sini, hari ini.

Pada pesta keramaian itu, senda gurauan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang berkenan menyertai permainan tradisional batu seremban dan congkak turut mencuit hati rakyat yang hadir.

Seri Paduka berdua meluangkan masa kira-kira 15 minit bermain permainan itu bersama penduduk setempat.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah menzahirkan jutaan penghargaan kepada penduduk Miri yang memberikan sambutan cukup mesra meraikan keberangkatan baginda bersama keluarga diraja sempena Kembara Kenali Borneo. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan