KUCHING, 10 Sept: Seramai 15 pengamal media elektronik dan cetak dari Sarawak memulakan misi menawan Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Asia Tenggara sempena Hari Malaysia yang disambut 16 September ini.
Rombongan diketuai Presiden Persatuan Penulis Bahagian Kuching (KDJA), Ronny Teo berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) menuju Kota Kinabalu hari ini.
Ronny berkata, setibanya di Kota Kinabalu petang ini, rombongan akan bermalam di Taman Negara Kinabalu.
“Mereka akan memulakan misi mendaki pagi esok hingga ke Laban Rata yang mengambil masa sekitar 4-5 jam dan bermalam di sana.
“Rombongan akan meneruskan pendakaian ke puncak Kinabalu pada jam 2 pagi dan dijangka tiba sekitar jam 6 hingga 7 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ronnie berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga KDJA menganjurkan program mendaki Kinabalu.
“Kami menganjurkan program ini sebagai menyahut cabaran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menguatkan lagi mental dan fizikal dalam kalangan pengamal media,” ujarnya.
Katanya, selain mendaki Gunung Kinabalu aktiviti lain yang turut diadakan kepada ahli KDJA sebelum ini ialah seminar dan penyesuaian media di Pontianak.
Turut menghantar rombongan berkenaan sebelum berlepas hari ini ialah Penasihat KDJA, Jacquelin Atiqah David.
Untuk rekod, KDJA mempunyai seramai 200 ahli yang terdiri daripada pengamal media cetak dan elektronik di Bahagian Kuching.-TVS