MIRI, 9 Sept: Memasuki hari ketujuh, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meneruskan Kembara Kenali Borneo di Miri hari ini.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin serta diiringi Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Hamzah di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh Kuala Baram.
Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya, menandatangani plak Kembara Kenali Borneo Miri, selain turut merakam gambar kenangan-kenangan.
Rombongan diraja seterusnya dijadual mengunjungi Pusat Kraftangan Miri bagi melawat gerai jualan dan pameran, selain menyaksikan demonstrasi anyaman kraf tangan tradisional Sarawak sebelum ke Coco Cabana.
Manakala sebelah petangnya pula, Al-Sultan Abdullah dan rombongan akan berangkat ke Kampung Pangkalan Lutong, sebuah perkampungan masyarakat Melayu di bahagian utara bandaraya Miri, bagi menghadiri majlis santapan petang bersama komuniti.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Hii Chang Kee, dan Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri. -TVS