MIRI, 8 Sept: Sepersalinan khas daripada batik linut bakal dihadiahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengarah Batik Linut Sdn Bhd, Diana Rose berkata pihaknya turut berhasrat menghadiahkan selendang daripada kain sutera yang digelar selendang tulen batik linut kepada Permaisuri Agong setibanya pasangan diraja di sini.
“Permaisuri Agong adalah orang yang pertama menggunakan produk terbaharu ini.
“Kami sangat teruja menanti keberangkatan tiba Sri Paduka berdua ke Miri membuatkan kami berusaha menghasilkan sepersalinan khas untuk Agong dan Permaisuri Agong kita,” katanya kepada TVS ketika ditemui di Coco Cabana, di sini, hari ini.
Sementara, baju batik linut diperbuat daripada 100 peratus kain kapas tulen pula akan dihadiahkan kepada Al-Sultan Abdullah.
“Rekaan baju untuk Agong diinspirasikan dari alam semula jadi Sarawak iaitu terendak, paku pakis (bentuk golong) dan juga bunga melor,” ujarnya.
Agong dan Permaisuri Agong bersama rombongan Kembara Kenali Borneo meneruskan perjalanan ke Bandar Seri Begawan, Brunei dan bersemayam di sana hari ini sebelum tiba di Miri, esok sekitar jam 11 pagi.
Rombongan Seri Paduka perkenan melawat Pusat Kraftangan Miri, Coco Cabana dan Kampung Pangkalan Lutong, pada Sabtu. – TVS