KUCHING, 7 Sept: Sarawak berhasrat untuk menerajui inisiatif penggunaan bahan buangan seperti plastik dan sanga untuk pembinaan jalan raya, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang menjalankan penyelidikan bagi memastikan keseluruhan proses penggunaan produk sampingan untuk projek-projek pembinaan infrastruktur menepati standard nasional.
“Sarawak sangat berinovatif (untuk melaksanakan ini) dan saya sangat positif jika ia (penggunaan plastik) boleh dilakukan (untuk membina jalan raya) di Victoria, Australia, maka tidak ada sebab ia tidak boleh dilakukan di Sarawak.
“Saya tidak boleh nyatakan tempoh masa penyediaannya, tetapi saya berharap pihak swasta mengambil inisiatif ini, kerana merekalah nanti akan menjadi pemain utama yang menghasilkan sisa buangan dan pada masa yang sama menjadikan ia sebagai bahan pembinaan jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Pembinaan Jalan Raya, di sini hari ini.
Seminar dengan tema ‘Revolutionizing Road and Airport Infrastructure: Exploring Cutting Edge Technologies, Innovative & Recycled Materials, and Real-World Applications’ anjuran Institusi Jurutera Malaysia itu bertujuan membincangkan teknologi dan inisiatif pembinaan jalan raya dan lapangan terbang dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula.
Merujuk kepada penggunaan sanga, yakni hasil sampingan daripada peleburan atau penapisan bijih dalam projek pembinaan jalan raya nanti, Uggah berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenai perkara itu memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf sanga sebagai bahan pembinaan.
“Buat masa ini, kita masih tidak boleh menggunakan sanga untuk membina jalan kerana JKR masih menjalankan kajian mengenainya,” katanya sambil menambah bahawa sanga yang dihasilkan oleh industri ferroalloy di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu ketika ini berjumlah 100,000 tan setahun, dikelaskan sebagai bahan buangan. – TVS