KUCHING, 8 Sept: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sarawak Energy Berhad (SEB) yang melibatkan komuniti luar bandar di sekitar pembangunan projek kuasa hidroelektrik banyak membantu pereka kraf tangan meneroka peluang perniagaan maya.
Program keusahawanan yang memberi tunjuk ajar dari segi pemasaran dalam talian dan penggunaan teknologi terkini amat membantu mereka yang mahu membina rangkaian dan hubungan sekali gus mendedahkan mereka ke pasaran baharu.
Josefine Midong, pembuat tenunan Pua Kumbu berkata, CSR yang dijalankan banyak membantu beliau menjual hasil produk sehinggakan beliau pernah diundang untuk menyertai Minggu Kraf London 2023.
“Banyak perkara yang saya telah belajar dari mereka (SEB), kini saya sudah pandai berjual dalam talian menerusi WhatsApp, Facebook serta melakukan pembayaran tanpa tunai secara dalam talian.
“Sekiranya ada perkara yang kami kurang mahir, kakitangan SEB sentiasa ada untuk membantu kami, saya amat bersyukur adanya program sebegini,” katanya ketika ditemui pada Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF) 3.0 di sini, semalam.
Bagi Enjelly Pasang, pembuat kraf tangan berkata program CSR itu mengajarnya untuk menukarkan bakat yang ada kepada hobi yang boleh menjana pendapatan.
“Melalui program ini, saya belajar strategi pemasaran untuk mempromosikan produk, menggunakan bakat yang ada untuk menghasilkan produk daripada sumber asli dan kemudian menjualkannya kepada orang ramai dan dengan cara ini, kami akan dapat mengaut keuntungan,” katanya.
Pengurus Pelaburan Sosial dan Perancangan CSR SEB, Jacklyn Dominic berkata, SEB bukan sahaja memberi fokus terhadap menyediakan bekalan elektrik kepada rakyat, tetapi juga membuka jalan kepada komuniti luar bandar untuk berdikari.
“Matlamat utama kami ialah membuka jalan kepada mereka untuk berdikari suatu hari nanti tanpa bantuan program CSR lagi.
“Kami ajar bagaimana untuk tingkatkan kemahiran serta memberi latihan yang relevan dan menyediakan bantuan kewangan.
“Kekangan yang dihadapi kini adalah kemudahann internet namun pihaknya optimis bahawa ia tidak akan menjadi cabaran untuk jangka masa panjang.” katanya. – TVS