KUCHING, 8 Sept: Seramai 10,000 pengunjung dijangka menyertai acara 18th MATTA Travel Fair 2023 (18th Sarawak Malaysian Association of Tour and Travel Agents Travel Fair 2023 pada 7 dan 8 Oktiober depan di Aeon Mall, Kuching.
Pengerusi MATTA Cawangan Sarawak, Oscar Choo optimis sasaran itu mampu dicapai selepas mengambil kira data pengunjung Sarawak MATTA Travel Fair 2023 pada Mac lalu di Boulevard Mall, di sini.
“Berdasarkan penganjuran edisi yang lalu, saya kira kita menerima (pengunjung) seramai 6,000 orang sehari.
“Sudah tentu kali ini kalau kita dapat capai 10,000 (pengunjung) sehari, itulah yang terbaik kerana kita menggunakan venue yang baharu dan segar,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Oscar mendedahkan pihaknya berhasrat untuk menyenaraikan beberapa pakej menarik termasuk percutian kapal layar.
“Tumpuan utama? Sudah tentu daripada pengendali pelancongan kita sendiri, (percutian) kapal layar kini satu perkara yang popular.
“Justeru, pakej dan juga destinasi baharu yang sedang dibuka sekarang, dengan rakan kerjasama syarikat penerbangan, kita akan membuat tawaran pelancongan yang lebih baik bersama MAG dengan menyediakan tawaran hebat untuk penerbangan,” ujarnya.
Menurutnya perkembangan terkini 18th Sarawak MATTA Travel Fair 2023 selepas ini akan diumumkan pada sidang media akan datang.
Untuk rekod, Sarawak MATTA Travel Fair 2023 sebelum ini telah mengutip RM4 juta jualan. -TVS