KUCHING, 8 Sept: Kes demam denggi di kawasan Batu 10 di sini menunjukkan peningkatan iaitu enam kes berbanding hanya satu kes bagi tempoh 30 Ogos hingga 7 September lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Ir Lo Khere Chiang berkata peningkatan ketara itu mendorong pihak pengurusan Lembaga Sekolah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching mengadakan ceramah Program Kesedaran dan Pencegahan Denggi kepada ibu bapa, guru dan juga pelajar sekolah setempat.
“Semalam terdapat lima kes demam denggi, tetapi hari ini meningkat kepada enam kes demam denggi. Jadi, kita semua tahu nyamuk membiak dengan sangat cepat selagi ada penakungan air.
“Mujurlah selama ini kita telah belajar untuk mengatasi dan mengawal penyebaran denggi dengan mengawal pembiakan nyamuk,” katanya demikian ketika ditemui di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu 10, Padawan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Lo menyarankan agar pelajar sekolah mengadakan aktiviti bergotong-royong di sekitar kawasan sekolah serta mempraktikkan kegiatan itu di sekitar kediaman sebagai usaha membasmi pembiakan nyamuk aedes dan denggi.
“Terdapat 1,700 pelajar di sini, jadi saya menggalakkan pelajar kita untuk melakukan gotong-royong bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes. Amalan gotong-royong ini juga akan dapat dipraktikkan di rumah mereka masing-masing,” katanya lagi.
Turut hadir Guru Besar SJKC Chung Hua Batu 10, Hiew Siaw Chew, wakil dari Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Sumi Linggi serta ahli-ahli Lembaga Pengurusan Sekolah. – TVS