KUCHING, 7 Sept: Cadangan memperkenalkan semula penerbangan terus antara Miri dan Manila, Filipina akan merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya industri pelancongan di rantau Asia Tenggara.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dennis Ngau berkata perkara ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat di Miri, tetapi rakyat Sarawak amnya.
“Kita sememangnya memerlukan keterhubungan langsung daripada negara-negara jiran kita. Sebagai laluan perhubungan, (penerbangan itu) akan memudahkan pergerakan, selain sektor pelancongan dan industri-industri lain juga akan berkembang,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas harapan dinyatakan Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin untuk mengembalikan semula penerbangan terus antara Miri dan Manila.
Kim Shin berkata ini adalah penting sebagai sebahagian rancangan Sarawak untuk mengukuhkan hubungan darat, udara dan laut bagi memangkin pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di rantau ini.
Dennis menambah, perkembangan sektor pelancongan tentunya akan membawa pelbagai manfaat kepada penggiat ekonomi tempatan termasuk bagi industri perhotelan, kraf tangan dan pengangkutan.
Sementara itu, beliau memaklumkan STB meletakkan komitmen yang tinggi dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.
“Saya berharap ia boleh dijadikan kenyataan pada masa terdekat.
“Kami (STB) berkeyakinan tinggi produk-produk Sarawak akan mendapat minat individu yang ingin melancong luar daripada negara mereka,” katanya. – TVS