BINTULU, 6 Sept: Operasi pemadaman kebakaran tapak pelupusan sampah Trienekens di Tanjung Kidurong di sini berjalan lancar dan berada dalam keadaan terkawal.
Operasi itu dijalankan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dan BBP Bintulu sejak Ahad lalu dilakukan sepenuh masa dengan menggunakan sumber air dari pili bomba berdekatan dan dua buah jentera water tanker.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Penguasa Bomba Kanan (PgKB1) Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, operasi pemadaman 24 jam itu kini memasuki hari keempat.
“Setakat jam 5 petang hari ini, operasi berjalan lancar dan pemadaman dilakukan berterusan iaitu ’round the clock’ di mana anggota yang terlibat bertugas mengikut jadual pasukan secara bergilir setiap syif 12 jam.
“Proses pengisian air ke dalam tanker berganti-ganti di mana sumber air diperoleh dari pili bomba awam berdekatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pihak bomba telah berusaha mengawal kemerebakan api dengan menggunakan teknik pemadaman ‘cooling’ dan starvation sejak operasi hari pertama pada Ahad.
“Proses pemadaman di kawasan pelupusan ini lebih mencabar daripada operasi pemadaman biasa.
“Oleh yang demikian, kita terpaksa melakukan penyejukan iaitu kaedah ‘cooling’ dan ‘starvation’ menggunakan jengkaut untuk menggorek bahan mudah terbakar serta membuat ‘fire break’ dengan menggali parit pengaliran air di lokasi,” jelasnya.
Wan Kamarudin, bagaimanapun berharap kebakaran tersebut dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.
Operasi itu melibatkan seramai 15 anggota bomba yang bergilir mengikut syif 12 jam dan turut dibantu oleh agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Alam Sekitar, pihak Trienekens dan Pasukan Bomba Pelabuhan Bintulu dan Centralize Emergency and Fire Services (CEFT) Bintulu. – TVS