JAKARTA, 7 Sept: Tiga negara anggota ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam bersetuju membentuk Komuniti Ekonomi Borneo (BEC) bagi merangsang pembangunan ekonomi hijau di Nusantara Capital City, lapor agensi berita ANTARA.
“(Meja Bulat Perniagaan Borneo kedua) membincangkan topik penting, memberikan wawasan tentang Nusantara, dan merangka peluang di ibu kota ini untuk negara jiran dan komuniti perniagaan kita,” kata Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Arsjad Rasjid.
Tiga negara ASEAN itu mengambil bahagian dalam sesi Meja Bulat Perniagaan Borneo kedua di Jakarta pada Selasa (5 Sept) selepas mesyuarat pertama berjaya diadakan di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, pada 28 April 2023.
Pada mesyuarat itu, wakil tiga negara ASEAN secara rasmi mengesahkan kerjasama dalam mewujudkan Komuniti Ekonomi Borneo (BEC).
Menurut Rasjid pada Rabu, satu pasukan petugas bersama, melibatkan wakil BEC akan dibentuk bagi meningkatkan kerjasama dalam membentuk Kalimantan sebagai pulau yang dinamik.
Penubuhan pasukan itu juga bertujuan menjadikan Kalimantan sebagai pusat ekonomi hijau di ASEAN yang dibina berdasarkan matlamat pembangunan mampan untuk mencapai kesejahteraan masyarakat dan memelihara alam sekitar.
“Sebagai pemimpin, CEO dan pihak berkepentingan, kita mesti mewujudkan persekitaran pertumbuhan inklusif dan kerjasama tanpa had,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Brunei Darussalam ASEAN-BAC Haslina Taib menjelaskan bahawa BEC bermatlamat untuk berkhidmat sebagai persatuan perniagaan yang inklusif dan mampan untuk syarikat di Kalimantan dan profesional dalam bidang-bidang baharu.
Beliau memastikan BEC adalah inklusif untuk semua perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), dan terbuka kepada perusahaan sosial dan individu berkemahiran.
“Kami komited untuk menggalakkan kemampanan serantau di ASEAN, menangani cabaran perniagaan di pulau Kalimantan, dan meningkatkan kerjasama di dalam dan di luar Kalimantan,” kata Taib. – TVS