LAWAS, 7 Sept: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyerlahkan lagi keprihatinan pasangan diraja berkenaan terhadap rakyat.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata kunjungan baginda berdua ke Sarawak dan Sabah adalah untuk mengenali rakyat yang pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama.
“Kepelbagaian ini juga berjaya dipelihara dengan baik oleh kepimpinan politik di Borneo yang turut diperkasa dengan kedaulatan kepada Raja dan Negara sejajar dengan perlembagaan negara,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Henry Sum merupakan antara kenamaan yang berada di Tebingan Sungai Lawas bagi menyambut keberangkatan tiba Agong dan Permasuri Agong pada petang ini.
Menurutnya lagi, rakyat Lawas amat teruja untuk melihat lebih dekat baginda berdua dan rombongan diraja lain.
“Walaupun Agong dan Permaisuri hanya singgah (seketika) di Lawas, tetapi kita amat bangga kerana baginda berdua menjadikan Lawas sebagai destinasi pertama Kembara Kenali Borneo untuk melintasi perjalanan panjang hingga ke Kuching,” ujarnya.
Turut dijadualkan menyambut keberangkatan tiba rombongan diraja itu ialah Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. – TVS