LAWAS, 7 Sept: Penduduk Lawas rasa bertuah, teruja dan gembira dengan kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke bandar ini sempena Program Kembara Kenali Borneo.
Kunjungan julung kali itu disifatkan saat paling manis kerana dapat beramah mesra dengan ketua negara itu.
Seorang penduduk Lawas, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, berkata ketibaan Agong dan Permaisuri ke Lawas merupakan kebanggaan rakyat di daerah paling utara di Sarawak.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak berkata kembara yang sedang berlangsung amat bermakna kepada rakyat, kerana mereka berpeluang menatap dari dekat wajah Agong dan Permaisuri Agong.
“Alhamdulillah. Terima kasih atas keberangkatan tiba Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong ke daerah Lawas.
“Ini merupakan satu penghormatan terbesar bagi kami rakyat di Lawas dan kami amat mengalu-alukan ketibaan Yang di-Pertuan Agong, selaku wakil rakyat daripada daerah Lawas dan Limbang, terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Bagi Pengerusi Kelab Kebudayaan Lawas, Liaw Ho Peng, beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan teruja kerana dapat bertemu dengan Agong dan rombongan diraja di Lawas hari ini.
“Kami sangat gembira dapat berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong. Ini merupakan kali pertama baginda ke Lawas.
“Penduduk-penduduk Lawas sangat gembira kerana Lawas, merupakan destinasi pertama sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain di Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan TVS di Dataran Tebingan Sungai Lawas mendapati hujan lebat tidak mematahkan semangat ribuan penduduk Lawas termasuk yang datang dari pedalaman untuk menemui ketua negara itu.
Mereka menyifatkan hujan turun petang ini merupakan hujan rahmat dan enggan melepas peluang untuk menyaksikan sendiri secara bersemuka dengan Agong dan Permaisuri Agong. – TVS